Wednesday 20 March 2013

PENGENALAN

Tempe Hjh. Tuminah        


        Assalamualaikum. Saya, Hjh. Tuminah @ Tumini binti Sardi selaku pengusaha tempe di Kg. Parit Panjang, Ayer Baloi, 82100 Pontian, Johor. Saya mula melibatkan diri dalam pengusahaan ini sejak tahun 1970 ketika berusia 31 tahun dan kini telah mengusahakan produk tempe selama 43 tahun. Ketika masih muda, saya telah diajar oleh ibu cara-cara untuk membuat tempe kerana ibu saya merupakan pengusaha tempe pada masa itu. 

        Pada mulanya, saya menjalankan pengusahaan ini kerana pengusahaan ini merupakan warisan keluarga. Selepas kematian arwah suami, pengusahaan tempe ini telah menjadi punca pendapatan kami sekeluarga. Dengan hasil jualan tempe dan beberapa kegiatan sampingan inilah, saya dapat membesarkan ketujuh-tujuh orang anak.

      Membuat tempe bukan mudah dan tidak ramai remaja sekarang yang mengenali produk tempe ini. Remaja zaman sekarang sudah mula melupakan warisan nenek moyang mereka dan hanyut dibawa arus pemodenan negara. Saya amat berharap bahawa kerajaan dapat menjalankan satu kempen bersempena dengan kegiatan ekonomi tradisional yang pernah dijalankan oleh nenek moyang kita pada zaman dahulu supaya tidak lupa dek ditelan zaman. Sebagai pengusaha tempe, saya telah menurunkan ilmu ini kepada anak perempuan saya sendiri supaya pengusahaan tempe ini dapat dikekalkan dan menjadi identiti serta kebanggaan keluarga, masyarakat dan negara kita. Oleh itu, saya ingin berkongsi ilmu dan pengalaman ini supaya warisan pembuatan tempe secara tradisional ini tidak akan dilupakan. 

        Tempe yang saya usahakan hanya berjumlah RM1.00 - 4 bungkus. Jika anda berminat untuk membuat tempahan, anda boleh berkunjung ke Kg. Parit Panjang, Ayer Baloi, 82100 Pontian, Johor atau hantarkan sahaja tempahan anda ke tempe.tradisional.hjh.tuminah@gmail.com . Jika tempahan tempe dibuat dalam kuantiti yang banyak, anda akan mendapat diskaun.