Sunday 21 April 2013

CARA-CARA MEMBUAT TEMPE SECARA TRADISIONAL

          Assalamualaikum. Saya, Hjh. Tuminah, pada hari ini akan tunjukkan kepada anda, cara-cara untuk membuat tempe secara tradisional.

CARA-CARA 

1.

Pertama sekali, rendam kacang soya sebanyak 4 kg di dalam 2 baldi di mana 1 baldi berisi 2 kg kacang soya. Setelah 2 hari direndam dan dibiarkan sehingga menjadi kembang, ramas-ramaskan kacang soya tersebut supaya kulitnya tertanggal.


2.

Kedua, basuh kacang yang telah direndam sebanyak 3 kali sehingga bersih. Buangkan bahan asing yang telah bercampur dengan kacang soya seperti kacang dal.


3.



Ketiga, rebus kacang soya tersebut di atas dapur kayu dan dibiarkan selama 2 jam. Jika menggunakan dapur gas, proses merebus kacang soya dapat dipendekkan menjadi 45 minit sehingga 1 jam sahaja.


4.

Keempat, toskan dan keringkan kacang soya yang telah direbus di atas meja yang dilapikkan dengan kain putih pada suhu sederhana. Kemudian, masukkan kacang yang sudah kering ke dalam dulang yang dialas dengan kertas minyak.

5.

Kelima, taburkan ragi tempe sebanyak 1 sudu besar dan gaulkan sehingga rata pada semua kacang soya.

6.

Keenam, bungkuskan kacang soya mengikut sukatan bekas kecil ke dalam daun yang sudah disusun dan dilipat. Biasanya, Wak akan menggunakan surat khabar yang sudah dipotong menjadi empat segi kecil bagi lapisan pertama, 2 helai daun pokok ubi garut bagi lapisan kedua dan kemudian daun pokok pisang.

7.

Ketujuh, biarkan tempe yang telah dibungkus di tempat yang kering pada suhu bilik. Setelah dibiarkan selama 48 jam, sejenis kulat putih akan memenuhi bungkusan tersebut.


          Cara pembuatan tempe ini memang agak rumit sedikit kerana memerlukan ruang kerja yang amat bersih kerana ini melibatkan ragi yang merupakan sejenis mikroorganisma. Pastikan rumah sentiasa berada dalam keadaan yang bersih. Jika ruang kerja berada dalam keadaan yang kotor dan mempunyai suhu yang tidak sesuai seperti terlalu lembap atau terlalu kering, tempe yang hendak dihasilkan tidak akan menjadi. Selamat mencuba :)

Saturday 20 April 2013

BAHAN UNTUK MEMBUAT TEMPE

          Assalamualaikum. Pada hari yang mulia ini saya akan tunjukkan kepada semua, bahan untuk membuat tempe.



BAHAN-BAHAN

1.
Kacang soya yang telah dibuang kulitnya.


2.
Ragi Tempe.


3.Pembungkus :-

Surat Khabar yang telah dipotong,


Daun Pokok Ubi Garut,


Daun Pokok Pisang

dan...



Getah Pengikat.

Wednesday 20 March 2013

PENGENALAN

Tempe Hjh. Tuminah        


        Assalamualaikum. Saya, Hjh. Tuminah @ Tumini binti Sardi selaku pengusaha tempe di Kg. Parit Panjang, Ayer Baloi, 82100 Pontian, Johor. Saya mula melibatkan diri dalam pengusahaan ini sejak tahun 1970 ketika berusia 31 tahun dan kini telah mengusahakan produk tempe selama 43 tahun. Ketika masih muda, saya telah diajar oleh ibu cara-cara untuk membuat tempe kerana ibu saya merupakan pengusaha tempe pada masa itu. 

        Pada mulanya, saya menjalankan pengusahaan ini kerana pengusahaan ini merupakan warisan keluarga. Selepas kematian arwah suami, pengusahaan tempe ini telah menjadi punca pendapatan kami sekeluarga. Dengan hasil jualan tempe dan beberapa kegiatan sampingan inilah, saya dapat membesarkan ketujuh-tujuh orang anak.

      Membuat tempe bukan mudah dan tidak ramai remaja sekarang yang mengenali produk tempe ini. Remaja zaman sekarang sudah mula melupakan warisan nenek moyang mereka dan hanyut dibawa arus pemodenan negara. Saya amat berharap bahawa kerajaan dapat menjalankan satu kempen bersempena dengan kegiatan ekonomi tradisional yang pernah dijalankan oleh nenek moyang kita pada zaman dahulu supaya tidak lupa dek ditelan zaman. Sebagai pengusaha tempe, saya telah menurunkan ilmu ini kepada anak perempuan saya sendiri supaya pengusahaan tempe ini dapat dikekalkan dan menjadi identiti serta kebanggaan keluarga, masyarakat dan negara kita. Oleh itu, saya ingin berkongsi ilmu dan pengalaman ini supaya warisan pembuatan tempe secara tradisional ini tidak akan dilupakan. 

        Tempe yang saya usahakan hanya berjumlah RM1.00 - 4 bungkus. Jika anda berminat untuk membuat tempahan, anda boleh berkunjung ke Kg. Parit Panjang, Ayer Baloi, 82100 Pontian, Johor atau hantarkan sahaja tempahan anda ke tempe.tradisional.hjh.tuminah@gmail.com . Jika tempahan tempe dibuat dalam kuantiti yang banyak, anda akan mendapat diskaun.